الثلاثاء، ١٧ جمادى الأولى ١٤٣٠ هـ

Keistimewaan tatabahasa Arab

Antara keistimewaan lain bahasa Arab ialah dari segi nahu atau tatabahasanya. Ia mempunyai peraturan yang sistematik sehingga sesiapapun boleh menjadi pakar bahasanya apabila telah mendalami selok-belok penggunaannya. Ini jelas terbukti apabila pakar tatabahasa Arab sejak dari dahulu bukanlah dari bangsa Arab seperti Sibawaih, Ibn Naftawaih, Ibn Ali al Farisi, Ibn Jinni, al-Zarkashi dan lain-lain ialah dari kalangan orang ajam atau asing. Tatabahasanya (melalui kaedah I'rab) juga menjadi kayu pengukur kepada setiap pertelingkahan mengenai bahasa, menjadikan bahasa ini bahasa yang terus utuh dan tidak lari daripada asalnya sebagaimana yang banyak terjadi kepada bahasa-bahasa lain setelah melalui beberapa abad. Sedangkan bahasa Arab sejak dari sebelum kedatangan Islam hinggalah sekarang yakni melebihi 14 abad masih mengekalkan keasliannya walaupun ditutur oleh pelbagai bangsa secara meluas.

Tatabahasa Arab yang agak rumit kerana mempunyai tiga kes; nominatif, akusatif dan genitif, tiga bilangan (tunggal, dua dan banyak) dan tiga peringkat iaitu indefinit, definit dan membina bagaimanapun dipermudah melalui kaedah penerangan I'rab. Ia adalah untuk menerangkan makna melalui lafaz. Ia suatu ilmu yang membincang hal-ehwal perkataan Arab dan barisnya samada dalam keadaan perkataan yang berubah atau tetap serta kesannya terhadap ayat. Dengan adanya kaedah ini menjadikan penuturnya bebas untuk mengatur perkataan dan membina ayat yang indah dan ringkas. Ia tidak memerlukan ruang yang banyak untuk huruf vokal kerana telah diubah suai melalui baris (harakah) dan bacaannya. Ini menjadikan perkataannya pendek dan menjimatkan ruang walaupun padat dengan makna.

Antara keistimewaan lain ialah dari segi morfologinya. Morfologi atau ilmu sarf ialah sebahagian dari tatabahasa Arab. Ia membincangkan kaedah pembentukan perkataan melalui terbitan. Kebanyakan perkataan Arab terdiri dari tiga huruf konsonan atau dikenali sebagai trikonsonantal .Tidak banyak perkataan yang mengandungi lebih dari tiga atau kurang dari tiga huruf akar. Ini menjadikannya mudah untuk dituturkan dan mengelakkan pengulangan. Kaedah terbitan huruf akar atau asal ini mampu menerbitkan banyak kosa kata baru menjadikan bahasa Arab bahasa yang kaya perbendaharaan katanya. Adakalanya satu perkataan akar ini mampu menerbitkan 80-220 patah perkataan yang berbeza makna dan darjat kata terbitan dari pelbagai peringkat kata kerja, kata sifat, kata nama, kata bilangan dan sebagainya. Contohnya perkataan 'shara'a (شَرَعَ) :

شَرَعَ- يَشرع- شرْعا – أشرع – يُشرع- إشراعا – شرَّع – يشَرِّع – تشريعا – اشترع – يشترع – اشتراعا –

الأشرع – التشريع – الشارع – الشراع – الشرّاعة – الشَّرع – الشِرع – الشرّعة – الشِرعة – الشريعة – المشرعة – المشرعة – المشروع – المشروعات - المتشرع ....

Memandangkan kepada perincian makna dan ketelitian bahasa Arab untuk menerangkan makna dengan lafaz menjadikan bahasa Arab bahasa yang cukup ekspresif. Dari sudut keindahan bahasa menjadikannya tepat, halus dan seni. Manakala dari sudut terjemahan ia menghadapi masalah kesukaran mencari perkataan yang tepat menterjemahkannya. Sebagaimana yang berlaku dalam penterjemahan al-Quran, bahasa lain tidak mampu menterjemahkannya melainkan dengan terjemahan tafsir sahaja memandangkan ketinggian maknanya selain bahasanya yang ringkas dan halus.

Inilah antara keistimewaan-keistimewaan bahasa Arab yang menjadikannya terpilih sebagai bahasa rasmi kitab suci agama Islam. Ia suatu bahasa yang perlu dipelajari bukan sahaja kepada yang beragama Islam bahkan oleh semua amnya untuk menghayati keindahan al-Quran yang patut dinilai dengan hati yang terbuka dan menerima apa yang baik darinya.

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق