الاثنين، ١٦ جمادى الأولى ١٤٣٠ هـ

Bahasa Arab Bahasa al-Quran



Kita semua mengenali bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran. Oleh kerana itu, bahasa ini bukan lagi menjadi milik khas suku bangsa Arab sahaja bahkan menjadi milik am kepada semua bangsa yang mengakui Islam sebagai agamanya. Ini terbukti dengan kadar bilangan penuturnya melebihi 422 million orang dari penduduk dunia (Encarta, 2006) menjadikannya bahasa ke empat terbanyak digunakan di dunia. Ia juga menjadi bahasa rasmi di lebih 22 negara di dunia ini termasuk di Senegal, Mali, Chad, Erithrea dan Somalia selain di Negara-negara Arab yang sememangnya berbangsa Arab. Ia juga menjadi bahasa penting bagi negara-negara Islam seperti di negara kita Malaysia, Indonesia, Pattani dan sebagainya. Di samping itu ia juga termasuk dalam 6 bahasa yang digunakan di PBB, selain bahasa rasmi Liga Arab, OIC dan Kesatuan Afrika. (wikipedia, 2008)

Mungkin kita ada terfikir apakah keistimewaan bahasa Arab sehingga ia terpilih menjadi bahasa kitab rasmi yang diturunkan oleh Allah Maha Pencipta untuk dijadikan rujukan manusia di dunia fana ini. Ramai yang bersandar kepada beberapa Hadith seperti:

"Bahasa Arab itu bukannya dengan pertalian ibu dan ayah, tetapi sesiapa yang mempelajarinya menjadi sebahagian daripada kami. Bahasa Arab itu disukai kerana aku orang Arab dan kerana ia adalah bahasa ahli syurga dan kerana itulah jua al-Quran itu diturunkan. Sesiapa yang bertutur dengan bahasa Arab maka dia seorang Arab."

"Mereka menyukai Arab kerana 3 perkara: pertama kerana aku seorang bangsa Arab, kedua kerana al-Quran itu berbahasa Arab dan ketiga kerana percakapan ahli syurga itu di dalam bahasa Arab."

Walau bagaimanapun kedua-dua Hadith ini tidak dapat disahihkan benar dari Nabi S.A.W. Hadith yang pertama dikatakan Hadith yang direka sementara Hadith kedua bertaraf 'hasan' yang tidak cukup kuat untuk dinasabkan sebagai kata-kata junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Namun hakikatnya al-Quran yang ada sekarang adalah berbahasa Arab sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran bermaksud:

"Dan sesungguhnya al-Quran adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah – ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata."

al-Shu'ara 192-195.

Begitu juga dalam ibadat harian, orang Islam diwajibkan membaca al-fatihah dan semua kata-kata dalam solat di dalam bahasa Arab. Umat Islam juga digalakkan supaya sentiasa membaca al-Quran sebagaimana ia diturunkan di dalam bahasa Arab selain memahaminya dengan bahasa sendiri. Ini semua jelas mengangkat bahasa Arab dari hanya bahasa satu suku kecil kaum nomad yang hidup di semenanjung Tanah Arab menjadi bahasa antarabangsa yang membincangkan pelbagai bidang ilmu dan dituturkan di seluruh dunia! Bukan setakat itu sahaja, bahkan Tuhan semesta alam juga telah menjanjikannya sebagai bahasa yang kekal kerana al-Quran dilindungi hingga akhir zaman. Hingga kini bahasa Arab terus kukuh dan tidak pupus sebagaimana yang terjadi kepada bahasa-bahasa dunia lain. Dengan ini bahasa Arab telah dijadikan bahasa antarabangsa di dunia ini. Ia menjadi pertautan mahabbah antara semua tanpa mengira bangsa. Allah S.W.T. yang maha Adil juga menyamaratakan semua manusia dan tidak pula melebihi orang Arab sahaja. Hanya darjat iman dan taqwa membezakan kedudukan manusia di sisiNya sebagaimana maksud firman Allah S.W.T.:

"Sesungguhnya kami menjadikan kamu dari golongan lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kamu semua berpuak-puak supaya kamu saling berkenalan. Orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa".

Kenapakah Allah S.W.T. memilih utusan akhir dari kalangan bangsa Arab dan bahasa Arab sebagai bahasa mukjizat utusanNya? Inilah yang menjadi persoalan dan menjadi hakikat yang sangat sukar diterima oleh orang Yahudi terutamanya, kerana nabi-nabi utusan Allah S.W.T. sebelum ini ialah dari kalangan bangsa mereka seperti Nabi Ya'kub, Yusuf, Sulaiman, Daud, sementara bahasa kitab suci ialah bahasa Arami.

Bahasa Arab ialah satu dari bahasa Semitik seperti, Suryani, Arami, Akkadia dan Ibrani. Di dalam bahasa Arab, Semitik ialah 'Samiah" iaitu bermaksud elit. Bahasa-bahasa Semitik ini ialah antara bahasa tertua yang diketahui di dunia. Bahasa Arab ialah bahasa bangsa Arab yang mendiami semenanjung tanah Arab yang terletak antara Teluk Parsi dan Laut Merah. Ia banyak menyerupai bahasa Semitik asli walaupun mengalami beberapa perubahan dari segi sebutan hurufnya. Arab ialah satu perkataan terbitan yang bermaksud sesuatu yang jelas atau fasih. Oleh itu bahasa Arab bermaksud bahasa yang fasih lagi jelas.

Bahasa Arab sebagaimana bahasa-bahasa lain lahir dari tabi'i kaum yang menuturkannya. Mereka meletakkan istilah-istilah mereka untuk dijadikan sebagai simbol makna lalu berkembang menjadi bahasa yang diterima pakai. Dengan ciri-cirinya yang elit dari segi olahan, terdiri dari lafaz yang tepat dan ringkas, maka dengan itu bahasa Arab terpilih untuk menjadi bahasa Kalam Allah iaitu al-Quran. Seterusnya al-Quran telah menguatkan lagi bahasa ini bersesuaian dengan tarafnya sebagai bahasa mukjizat yang tiada siapa dapat menandingi kekuatan gaya bahasanya, simboliknya dan maknanya.

Apakah keistimewaan bahasa Arab? Inilah yang akan dibincangkan di dalam siri yang seterusnya. Sesiapa yang mempelajari bahasa Arab bermakna dia mempelajari sesuatu yang istimewa. Sesiapa yang menggunakan bahasa ini bermakna dia menggunakan bahasa yang indah dan istimewa. Manakala sesiapa yang menghafal sebahagian dari yang indah dari bahasa ini yang merupakan kalam Allah dan mengamalkannya bermakna dia mendapat keistimewaan di dunia dan akhirat.

Wa'Llahu A'lam.

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق